Lidah paling mahal Di DUNIA!!  

Posted by: Fakhrul Zakry in

saper yang slalu baca paper berita harian mesti perasan artikel ni kan, actually aku agak pernah dengar jugak lah mende mende gini.. ada yang hidung paling mahal sebab pandai bau..




Pelicia perlu merasa sehingga 5,000 jenis kopi bagi tujuan pengkelasan.

LANGKAH mengambil insurans sememangnya satu keperluan sebagai jaminan apabila berlakunya kecelakaan dalam sekelip mata. Tidak hairanlah jika ada yang sanggup mengambil lebih daripada satu polisi insurans bagi memaksimumkan pampasan.

Namun, tahukah anda mengenai tindakan segelintir insan yang sanggup melaburkan sejumlah wang besar semata-mata untuk mengambil insurans bukan bagi nyawa atau harta benda sebaliknya bagi bahagian tertentu tubuh?

Inilah yang dilakukan rangkaian restoran Costa Coffee di London yang sanggup memperuntukkan sehingga £10 juta (RM50 juta) untuk melindungi lidah pekerja yang bertugas sebagai ‘pakar rasa kopi’.

Individu yang dimaksudkan ialah Gennaro Pellicia. Tindakan majikannya bukanlah mencari populariti atau mencipta sejarah, sebaliknya menjadi cara penting bagi memastikan lidah pemuda itu sentiasa dalam keadaan baik untuk membolehkan ia mampu membezakan ratusan jenis kopi yang dijual.

Pelliccia bertanggungjawab di atas rasa 108 juta cawan kopi Costa Coffee yang dijual di Britain setiap tahun.

Polisinya dengan firma insurans Lloyd’s of London menjadikan lidahnya dua kali lebih berharga dari senyuman bintang Ugly Betty, America Ferrera dan satu persepuluh satu peratus daripada keseluruhan tubuh pemain bola sepak terkenal, David Beckham.

Pelliccia, 34, yang perlu merasa beratus-ratus biji kopi kisar di rangkaian restoran itu di Lambeth, selatan London, juga perlu melakukan pengorbanan berikutan tuntutan kerja uniknya itu. Ini termasuk menjauhi makanan terlalu panas kerana berisiko melecurkan lidahnya.

Beliau juga dilarang menikmati kari dalam masa dua hari sebelum musim merasa kerana dibimbangi rempah ratus itu boleh menjejaskan sensitivitinya.

Dengan 5,000 jenis kopi perlu dirasa dan dikelaskan oleh Pelliccia setiap tahun, pegawai atasan Costa memutuskan lidah pemuda itu berbaloi untuk setiap sen yang dikeluarkan.

“Pengalaman selama 18 tahun membolehkan saya membezakan antara beribu perisa. Lidah juga membolehkan saya membezakan sebarang kecacatan, yang membenarkan saya melindungi dan menjamin campuran Mocha Italia unik Costa,” kata Pellicia.

Walaupun mempunyai sepasukan ‘tukang rasa’ yang bekerja untuknya, Pelliccia, secara peribadi merasa setiap kumpulan biji kopi mentah yang melalui pemanggang di restoran itu.

Costa juga yakin lidah milik Pelliccia yang bertanggungjawab di atas rekod kejayaan dalam ujian merasa jenama baru-baru ini. Pengarah Urusan Costa Coffee, John Derkach, berkata Pelliccia adalah ‘elemen penting’ dalam perniagaan syarikat itu.

Hakikatnya, Pelliccia bukan berseorangan dalam situasi yang bagi kebanyakan orang lain tidak masuk akal, tetapi sekadar menambah senarai panjang golongan selebriti dan bukan selebriti yang berlumba-lumba mengambil insurans bagi melindungi aset tubuh masing-masing.

Beliau masih kalah dibandingkan dengan jumlah insurans keseluruhan tubuh Beckham, yang dilaporkan £40 juta (RM200 juta), dipercayai polisi insurans paling tinggi bagi set bahagian tubuh walaupun cuma kakinya yang banyak membantu bekas kapten England itu mengumpul kekayaan.

Lebih melucukan ialah tindakan penari bogel lelaki Britain, Frankie Jakeman, yang mengambil polisi bernilai £1.2 juta (RM6 juta) untuk kemaluannya pada tahun 1987.

Di kalangan selebriti Barat, mempertaruhkan sejumlah wang besar untuk melindungi bahagian tertentu tubuh mereka bukan lagi asing apatah lagi bahagian itu menjadi sumber pendapatan mereka yang mencecah puluhan, ratusan atau ribuan juta dolar.

Penyanyi dan pelakon berketurunan Latin, Jennifer Lopez, baru-baru ini dilaporkan mengambil polisi sehingga AS$1 bilion (RM3.6 bilion) untuk payu dara, kaki, belakang, rambut dan berat badannya. Walaupun ia disangkal oleh bintang ‘Maid in Manhattan’ itu, ia sekali gus menjadi bukti betapa selebriti sanggup berhabisan melindungi aset mereka walaupun bagi kebanyakan orang, ia mungkin kerja gila.

Nyata JLo itu bukan berseorangan dalam mengambil insurans untuk melindungi asetnya walaupun mungkin tidak mencecah berbilion dolar kerana menyertainya ialah senarai panjang selebriti dan tokoh lain yang bertindak luar jangkaan demi melindungi kepentingan masing-masing.

Nama besar lain dalam dunia selebriti Barat yang tidak teragak-agak melabur sejumlah wang untuk pulangan lebih lumayan jika kecelakaan menimpa ialah pemain gitar kumpulan Rolling Stones, Keith Richards yang mengambil insurans bernilai £1.5 juta (RM7.6 juta) untuk tangannya manakala penyanyi Dolly Parton melabur £350,000 (RM1.7 juta) iaitu lebih £8,000 (RM40,000) setiap inci payu daranya.

Tindakan mereka mungkin kelihatan tidak masuk akal kerana tiada guna menentang hukum alam yang jelas membuktikan muda pasti bertemu tua, tegang akan mengendur dan gagah beransur lemah. Namun apabila bertuhankan wang dan kemewahan, apa saja akan dilakukan demi memastikan kehilangan mereka dari pentas kemasyhuran tidak menjejaskan gaya hidup yang dijalani selama ini.

INFO: Insurans anggota tubuh


  • Bintang bola sepak David Beckham mengambil insurans bernilai RM200 juta bagi badannya, dipercayai polisi insurans paling tinggi pernah dibuat bagi tubuh

  • Pelakon dan penyanyi berketurunan Latin, Jennifer Lopez, mengambil polisi sehingga RM3.6 bilion untuk payu dara, kaki, bahagian belakang, rambut dan berat badannya.

  • Pemain gitar kumpulan Rolling Stones, Keith Richards mengambil insurans RM7.6 juta untuk tangannya.

  • Penyanyi Dolly Parton melabur RM1.7 juta, iaitu lebih RM40,000 bagi setiap inci payu daranya.
  • This entry was posted on Monday, June 01, 2009 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

    0 ciuman

    Post a Comment

    Advertisement











    Super Spy


    advertisement



    Malaysia Web Hosting