Cinta Songsang Semakin Songsang  

Posted by: Fakhrul Zakry in ,

hurm. ketika surfing tadi, adalah ternampak artikel Cinta Songsang Semakin Songsang ni, yelah.. tengok tajuk macam berbelit.. tapi bila baca artikel ni.. barulah fapat mengunkapkan maksud tersirat..

ni artikel yang diambil;

----------------------------------------------------
Cinta Songsang Semakin Songsang
November 25th, 2008 | by Abu Saif | 34,974 Views | Print | Email |

Artikel di bawah telah saya tulis lebih setahun yang lalu.

Hampir ada sahaja di dalam inbox saya, email yang dihantar oleh pembaca, meminta bantuan daripada saya untuk menangani masalah CINTA SONGSANG, sama ada oleh tuan empunya diri, atau teman kenalannya. Tinggi rasa khuatir, namun rugi jika saya mengulang nasihat untuk masalah yang sama. Justeru saya hadirkan kembali artikel ini ke muka hadapan Saifulislam.Com untuk beberapa hari mendatang, bagi renungan dan manfaat kita bersama. Wallahu al-Musta’aan…
Dalam setahun kebelakangan ini, saya menerima permintaan daripada beberapa orang remaja yang memohon pertolongan. Ada yang bersemuka, ada juga secara maya. Permintaan ini datang dari suara insan yang jauh terbuang di dalam lubang yang dalam, memanggil saya untuk menolong mereka keluar, dari dunia gelap cinta seorang lelaki terhadap seorang lelaki, cinta songsang yang menyeksa si empunya diri.





Ini bukan kisah golongan pondan, bukan golongan yang bergaul bebas dan hidup bergelumang dosa. Mereka adalah remaja yang baik, pada akhlak dan ibadah… namun dibelenggu dosa perasaan yang tersembunyi.

Bagi remaja yang telah kalah dengan perasaan itu, dan terjebak dengan perbuatan keji di sisi agama, saya tidak dapat berkata apa-apa… hanya kepada Allah jua saya pohonkan agar mereka ini bertemu cahaya di hujung jalan songsang yang mereka susuri itu. Namun yang ingin saya bincangkan di sini, adalah remaja yang baik, yang bersih, tetapi terperangkap dalam dunia yang cukup misteri ini… sebagai mangsa keadaan.

Mengapa saya katakan demikian? Hasil perkongsian cerita… boleh dikatakan setiap seorang dari lelaki pencinta lelaki ini, pernah menempuh pengalaman hidup yang hitam.

LATAR BELAKANG YANG MENJADI BEBAN HIDUP


Ada di antara mereka menjadi mangsa kecenderungan ibu bapa, yang menginginkan anak perempuan sehingga beliau dilayan seperti imaginasi si ibu dan bapa, lantas naluri yang dibentuk menjadi songsang, atas kesilapan ibu bapa. Mereka yang dari kumpulan ini, lazimnya turut berpewatakan lembut kesan persekitaran yang disentuh ke atas mereka.

Manakala sebahagian yang lain pula, pernah menjadi mangsa kepada perlakuan songsang pada usia awal remaja, dicemar oleh nafsu rakus mana-mana lelaki yang ada di sekeliling mereka… hingga akhirnya kanak-kanak ini membesar dengan membawa catatan hitam itu kepada sebuah dunia keremajaan dan kedewasaan yang mengelirukan.

Beberapa individu yang saya temui dari kumpulan kedua ini, mempunyai penampilan yang sempurna sebagai seorang lelaki, namun mereka menanggung kejanggalan naluri sebagai rahsia yang memakan diri.

Sukar untuk saya membantu, kerana kecelaruan ini bukan kecelaruan ilmu. Ia juga bukan kecelaruan emosi, tetapi kecelaruan identiti. Identiti adalah suatu rangkuman dimensi dalaman manusia yang terbentuk hasil dari pelbagai aspek kehidupan. Mengungkaikannya memerlukan kekuatan semangat dan kembali berbaik sangka kepada Allah terhadap potensi diri untuk pulih… dari satu peringkat ke satu peringkat.





Mungkin ada yang secara spontan menghukum golongan ini, namun saya sebagai seorang pendakwah tidak mampu untuk berbuat demikian. Membantu, sentiasa lebih utama untuk difikirkan. Siapalah saya untuk menilai dan menghukum, kerana penilaian saya juga akan dinilai oleh Maha Penilai di sana, dan Maha Menghukum atas keculasan saya tidak membantu sesama saudara.

Apatah lagi, mereka yang saya temui ini mempunyai syakhsiah yang baik. Mereka adalah remaja yang taat kepada Allah pada ibadah dan akhlak, tetapi mereka terseksa kerana menanggung ‘dosa perasaan’ lantaran kecenderungan diri yang ganjil itu. Malah saya hargai kepercayaan yang mereka berikan apabila tampil meminta pertolongan dari saya, walaupun tidak banyak yang dapat saya lakukan, selain sokongan nasihat dan keyakinan diri.

Menghadapi golongan ini, tidak boleh disamakan dengan pendekatan kita terhadap isu homoseksualiti. Nyatanya, kebanyakan artikel yang saya temui, mengecam homoseksualiti dengan sokongan keterangan al-Quran dan al-Hadith. Saya yakin, remaja yang datang bertemu dengan saya amat sedar akan hal ini. Kerana itulah mereka tidak berzina sejenis, mereka tidak bergaul bebas. Mereka datang meminta bantuan atas rasa bersalah yang tinggi terhadap naluri yang menyalahi iman itu. Maka mereka memerlukan nasihat, panduan dan sokongan. Bukan kecaman.

Kerana itu, saya lebih simpati, berbanding marah atau terkilan, kerana mereka tetap berada di dalam status mangsa, selagi mana perasaan itu tidak dimaterialisasikan pada maksiat fizikal zina, liwat dan yang seumpama dengannya.

Saya cuba menyelami masalah mereka, dan nyatanya mereka adalah golongan yang sangat kesunyian dan sepi. Mereka hidup dalam kesunyian, bukan kerana kosong dari kehidupan berkawan dan berakan taulan. Sunyi itu datang kerana mereka sering memikul diri lari jauh dari semua orang di sekitar mereka, bersama rahsia yang terlalu berat untuk jatuh ke pengetahuan manusia. Mereka ini adalah manusia yang bersembunyi di tengah ramai.

SEKADAR NASIHAT

Nasihat pertama saya kepada remaja seperti ini, adalah untuk terus bertahan dari mendekati liwat dan cabang-cabangnya. Sebagaimana lelaki mukmin perlu menjauhkan dirinya dari zina, maka lelaki dari kumpulan ini juga mesti menjauhkan diri mereka dari zina sejenis, kerana kedua-duanya adalah kekalahan seorang manusia kepada hawa nafsunya yang mengundang penyesalan tanpa hujung. Allah tidak menghukum kalian atas perasaan itu, tetapi hukuman dan kemurkaan bakal menimpa kalian yang merealisasikannya pada perbuatan.

Kuatkan iman, teguhkan pendirian.

Namun saya berpandangan, perjuangan mempertahankan diri dari zina sejenis ini, jauh lebih sukar, kerana golongan ini sentiasa tinggal bersama golongan yang menjadi kecenderungan nafsunya. Jika lelaki normal’ boleh menghindarkan dirinya dari pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, golongan ini pula harus teguh berganda…

CEBURKAN DIRI PADA AMAL ISLAM

Tempuhilah usia akhir belasan tahun, dan 20an itu sebagai usia mujahadah menentang gelodak hormon dan ketidak seimbangan emosi yang rumit. Berikan diri kepada aktiviti-aktiviti, khususnya kerja Islam, dan sambutlah kesukaran-kesukaran yang muncul sebagai cara Allah mengekalkan kita dalam kebaikan.


“Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, diujinya dia itu dengan kesusahan”� (Al-Bukhari dan Muslim)
Kesusahan hidup di jalan dakwah, akan menyulitkan nafsu bangun menjajah keputusan diri. Bukan saya bermaksud agar mereka ini perlu sengaja mencari kesusahan diri, tetapi jalan dakwah dan kesibukan akan menghindarkan setiap remaja lelaki yang normal dan ‘tidak normal’ ini dari dosa fahsya’ seperti zina dan yang seumpama dengannya. Sibukkan diri. Jangan iyakan perasaan itu.


Rukood al-maa’ yufsiduhu, firaagh asy-syaab yaqtuluhu

“Air yang bertakung tidak mengalir akan dirosakkan oleh statiknya itu, pemuda yang banyak masa lapang (tidak dinamik) akan dibunuh oleh masa lapangnya itu” - Pepatah Arab

Berikan peluang kepada diri untuk melepasi usia 20an itu, sehingga keredaan naluri muncul seiring dengan pertambahan usia.

“Ustaz, apakah saya ada peluang untuk menyintai wanita, berkahwin, mempunyai anak, seperti manusia yang lain?”� soalan yang sering diajukan kepada saya.



“Berilah peluang kepada masa untuk merawat kesakitan jiwa itu, dengan syarat kamu tetapkan diri pada menjauhkan diri dari maksiat. Tunggulah hingga reda gelodak nafsu itu pada usia remaja seperti ini, dan nanti, kita berbuallah tentang liku-liku mencari jalan pada sebuah perkahwinan, yang diinginkan tanpa keinginan itu…�, itu sahaja batas upaya saya berkongsi pandangan.

Bagi ibu bapa, dan pihak penaja yang menghantar pelajar ke luar negara, ketahuilah bahawa kebebasan undang-undang dan persepsi persekitaran terhadap homoseksualiti ini telah dan sedang begitu rakus mengorbankan banyak anak muda kita. Sukar untuk saya ungkapkan dengan perkataan, kerana jika dicadangkan AGAMA sebagai benteng penyelesaian, ramai yang sinis kerana mabuk POLITIK hingga takut kepada SIASAH, lantas terlupa kepada fungsi besar AGAMA, bahtera penyelamat buat manusia.

Semoga Allah memelihara kita semua, dan adik-adik remaja ini dari fitnah dunia akhir zaman yang sungguh kejam terhadap mana-mana insan yang mahu hidup dengan bara Islam yang digenggam.

Tabahkan hati…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
27 April 2007


----------------------------------------------------


moga kita mendapat pelajaran dari artikel ini. sekian, Terima Kasih.

This entry was posted on Thursday, December 18, 2008 and is filed under , . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 ciuman

Post a Comment

Advertisement











Super Spy


advertisement



Malaysia Web Hosting